LONDON – Ryan Giggs membantu Manchester United merampas kembali kedudukan pendahulu bola sepak Liga Perdana England (EPL) apabila jaringan tunggalnya membantu pasukan itu menundukkan West Ham 1-0, semalam.
Giggs yang tidak banyak mendapat peluang bagaimanapun memanfaatkan kesempatan yang diperoleh apabila melepasi dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan rendah untuk gol kemenangan United pada minit ke-61.
United berjaya memintas kedudukan pendahulu daripada Liverpool selepas mengumpul 55 mata daripada 24 perlawanan, dua mata meninggalkan Liverpool yang menumpaskan Portsmouth 3-2, kelmarin.
Malah, skuad bimbingan Alex Ferguson itu juga mampu melebarkan jurang mata kepada lima kerana memiliki kelebihan satu perlawanan dan akan melengkapkan jadual apabila menentang Fulham pada 18 Februari ini.
Kemenangan 1-0 semalam turut memastikan Manchester United mengekalkan rekod bersih tanpa dibolosi dalam 13 perlawanan berturut-turut.
Sementara itu dalam perlawanan terdahulu, Arsenal menyempitkan peluang untuk memburu kejuaraan Liga Perdana selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Tottenham dalam pertemuan dua kelab London di White Hart Lane, semalam.
Bagaimanapun anak-anak buah Arsene Wenger itu masih bernasib baik kerana berjaya pulang dengan satu mata biarpun mengharungi sebahagian besar permainan dengan 10 pemain. Arsenal menerima tamparan apabila tonggak pertahanan mereka, Emmanuel Eboue dibuang padang pada minit ke-37 selepas menerima kad kuning kedua kerana mengkasari Luka Modric.
Tidak cukup kehilangan Eboue, Arsenal terus ditimpa malang apabila penyerang utamanya, Emmanuel Adebayor pula terpaksa dibawa keluar pada masa yang sama akibat kecederaan belakang lutut.
Robbie Keane, yang mengetuai jentera serangan Tottenham selepas kembali dari Liverpool tidak banyak menyumbang biarpun hampir meletakkan tuan rumah di depan menerusi tandukan cantik yang hanya sedikit tersasar pada lewat babak pertama. – Reuters
No comments:
Post a Comment