Syamira teringin nak tengok sekolah lama dia - Sekolah Kebangsaan Putrajaya (2), Presint 9. Dia sekolah kat sini sejak Tahun 1 sampai habis UPSR. Yang aku jumpa kat sini 3 orang - Pn. Nasiam, Pn. Hasnah dan Jun. GB dia keluar pergi mesyuarat.
Aku bertugas kat sekolah ni sejak ia mula dibuka pada Disember 1999 sehingga September 2004. Aku ditukarkan ke sekolah ni oleh Kementerian Pelajaran semasa aku bertugas di Bahagian Teknologi Pendidikan, Bukit Kiara. Mati-mati aku tak mahu ke situ sebab dah letih menjadi Guru Besar (dari 1992 hingga 1999). Aku hantar surat rasmi penolakan by hand dan berjumpa sendiri dengan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia waktu tu Dato' Dr. Abdul Shukor Abdullah di pejabatnya di Pusat bandar Damansara. Namun dia tetap menolak rayuan aku tu. Sepatutnya aku ke situ awal Disember 1999 tetapi disebabkan aku tengah merayu untuk tidak ditempatkan ke situ, akhirnya aku terpaksa pergi pada pertengahan Disember. SK Putrajaya (2) ini adalah sekolah rendah pertama di sini sementara sekolah menengahnya pula ialah SMK Putrajaya 1, Presint 8. Pengetua dia masa tu ialah Dr. Salbiah Ismail.
SK Putrajaya (2) ini adalah sekolah rendah bestari yang pertama di Malaysia. Jadi banyak surat-surat yang aku terima dari seluruh negara untuk memasuki sekolah ini. Mereka beranggapan ia adalah sekolah berasrama penuh atau sekurang-kurangnya ada kemudahan asrama. Namun semua tu tak betul. Bukan SBP dan tiada asrama di sini. Ia adalah sekolah biasa hanya bertaraf Sekolah Bestari. Mungkin persepsi ni timbul kerana kebanyakan Sekolah Bestari ialah Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Projek Rintis Sekolah Bestari pada masa itu adalah merupakan salah satu Aplikasi Perdana MSC. Setiap daerah di seluruh negara mempunyai Sekolah Bestari yang kebanyakannya ialah SBP. Sekolah rendahnya hanya sekolah aku ni (masa tu SK Putrajaya 1 dan Sekolah Kebangsaan Seri Bintang belum dibuka lagi).
Masa tu, apa pun tak ada lagi kat sekolah ini - telefon, faksimili, komputer, alamat, poskod, guru dan pelajar. Perabot semua dah ada di samping kehadiran tikus-tikus sebesar kucing! Maklum ajelah dulukan ini ladang kelapa sawit. Ke hulu, ke hilirlah aku menguruskan pembukaan sekolah ini. Kebetulan Penolong Kanan aku pulak ialah classmate aku masa di UPM dulu - Nafishah Hassan. Pembantu Tadbir yang ada ialah Siti Rohani Sukir dan PAR aku lak ialah Norman Md Nor. Sekarang ni Nafishah dah menjadi Guru Besar kat sini.
Pengalaman membuka sekolah baru serta memerah otak untuk mencorakkan wajah Sekolah Bestari banyak memberi cabaran dan dugaan serta mencabar kesabaran. Tiada sebarang rujukan di mana-mana di dunia ini tentang Sekolah Bestari. Yang ada cuma kertas konsep (Blueprint) namun ia tidak banyak membantu kerana apa yang diwarnakan di situ tidak sama dengan apa yang dilengkapkan di sekolah ini - waktu tu gawat, maka banyak peruntukan dipotong.
No comments:
Post a Comment