Dengan keadaan sekarang yang kos bahan api semakin meningkat, suatu alternatif segera wajar dicari dan diperkenalkan. Mungkinkah kita di negara yang menerima pancaran cahaya matahari hampir 365 hari setahun mampu untuk kita memanfaatkannya bagi menggurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil?
Mungkinkah suatu hari nanti senibina rumah di Malaysia akan mengalami perubahan ketara andainya penggunaan tenaga solar menjadi pilihan utama kerajaan, pemaju perumahan dan penduduk untuk membekal tenaga elektrik ke rumah-rumah? Jika ya, mungkinkah nanti kebanyakan bumbung akan digantikan dengan panel solar? Setiap rumah mempunyai setor khas untuk menempatkan bateri dan peralatan berkaitan? Mungkinkah harga panel dan bateri tersebut akan menjadi semakin murah? Akan bercambahkan kilang pengeluar panel tersebut di negara kita? Mungkinkah senibina bateri akan melalui satu revolusi agar ia menjadi semakin kecil, ringan dan tahan lasak?
Kesemua artikel di sini dipetik dari Berita Harian http://www.bharian.com.my/.
Artikel 1: Teknologi Solar Sumber Alternatif
TEKNOLOGI sel solar wajar digunakan sebagai sumber alternatif menjana elektrik dalam projek pembestarian sekolah luar bandar untuk memastikan pelajar di kawasan berkenaan tidak ketinggalan dalam pembudayaan teknologi maklumat dan komunikasi. Pengarah Institut Penyelidikan Tenaga Suria (Seri) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Kamaruzzaman Sopian, berkata teknologi solar lebih praktikal, menjimatkan kos dan masa berbanding kaedah penyambungan grid yang diamalkan ketika ini. Katanya, aplikasi teknologi itu, sekali gus meluaskan penggunaan tenaga solar di kawasan luar bandar yang kini dimanfaatkan dalam bidang pertanian dan perikanan saja.
“Aplikasi tenaga solar di negara kita kini pada tahap sangat rendah sedangkan ia berpotensi tinggi dimanfaatkan dalam pelbagai bidang terutama sektor perumahan dan pertanian. “Antaranya, ia dapat memastikan projek pembekalan elektrik bagi sekolah luar bandar dilaksanakan pada kadar segera serta berdaya saing dari segi kosnya. “Lazimnya, sesebuah sekolah di luar bandar hanya memerlukan bekalan elektrik tiga hingga lima kilowatt saja sehari termasuk untuk operasi makmal komputer dan teknologi, sel solar mampu memenuhi keperluan ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pameran Kereta Solar di Dataran Pusanika UKM, Bangi, baru-baru ini.
Sempena pameran itu, warga Switzerland, Louis Palmer turut mempromosi teksi solar ciptaannya, selain menyampaikan ceramah mengenai kenderaan itu kepada warga universiti. Sementara itu, Kamaruzzaman, berkata kereta solar antara 20 produk yang berjaya dihasilkan institut itu menerusi kegiatan penyelidikannya. Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak dua produk sudah digunakan pihak berkaitan iaitu panel sel solar oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta pengeringan kelapa sawit menggunakan teknologi pengeringan udara solar oleh Felda. “UKM satu-satunya institusi pengajian tinggi awam yang diberi mandat Kementerian Pengajian Tinggi bagi menubuhkan institut penyelidikan khusus untuk tenaga solar sejak 2005.
“Sejajar itu, kami menerima geran penyelidikan berjumlah RM13 juta daripada pelbagai pihak sepanjang Rancangan Malaysia Ke-9 untuk memajukan teknologi tenaga solar dalam pelbagai bidang terutama pertanian dan perikanan,” katanya.
Artikel 2:Tenaga solar alternatif bahan api fosil
LANGKAH memberikan subsidi bahan api kepada golongan berpendapatan rendah adalah satu tindakan untuk mengurangkan kesan peningkatan kos harian. Cadangan itu mendapat pelbagai reaksi semua pihak. Bagaimanapun, gambaran penuh mengenainya masih tidak diperjelas. Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ingin menekankan kepentingan untuk kita memberi fokus kepada krisis bahan api dan tenaga masa depan. Ini adalah untuk memastikan pembangunan lestari berterusan. Bahan api dan tenaga adalah berkaitan antara satu sama lain dan tidak boleh dipisahkan. Bahan api fosil di Malaysia akan kehabisan dalam masa yang singkat, jadi apa sumber bahan api untuk masa depan.
Fomca menghantar Memorandum Tenaga dan Pengguna pada 28 September 2007 untuk perhatian Perdana Menteri dan juga kementerian yang berkaitan dengan mengetengahkan beberapa kaedah penyelesaian isu bahan api dan tenaga. Pendirian Fomca adalah jelas dan keperluan untuk mencari bahan api serta tenaga alternatif adalah keutamaan. Tambahan pula, perkembangan dalam bidang itu patut diurus dengan teliti selain menekankan kepentingan untuk mengelakkan monopoli serta mewujudkan mekanisme penguatkuasaan yang cekap dan berkesan. Di kebanyakan negara maju, penggunaan bahan api untuk kenderaan persendirian berjaya dikurangkan melalui perkhidmatan pengangkutan awam yang berkesan sebagai langkah awal. Ini dipertingkatkan dengan menyepadukan semua kaedah pengangkutan menjadi satu entiti yang berkesan.
Pada masa sama, kita perlu memastikan bahan api pada masa depan dapat memberi impak minimum kepada alam sekitar. Tenaga solar dan bahan biojisim adalah antara sumber yang boleh dikaji dan dibangunkan. Adalah penting untuk kita memperbaiki pengetahuan dalam bidang berkenaan supaya ia tidak berhenti separuh jalan. Fomca juga perhatikan bahawa teknologi kereta yang mesra alam tidak dibangunkan di negara kita. Wujud teknologi seperti kereta hibrid yang menggunakan separuh bahan api serta separuh tenaga elektrik, kereta solar dan banyak lagi. Pembuat kereta tempatan patut berusaha untuk 'menghijaukan' teknologi mereka dan menyediakan rakyat Malaysia serta institusi mereka ke arah masa depan yang `hijau'. Kita juga dapat perhatikan di Brazil, gas cecair asli turut digunakan untuk kenderaan berat. Untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, kaedah mengekstrak biogas dari sisa pertanian, penternakan dan kumbahan patut dipelopori. Walau pun kita masih menemui minyak mentah di kawasan perairan negara, kita tidak patut lupa bahawa adalah tanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan masa depan generasi akan datang terus terjamin.
PIARAPAKARAN SUBRAMANIAM, Pengurus Bahagian Alam Sekitar, Fomca.
No comments:
Post a Comment