Sunday, April 13, 2008

Internet Bakal Lapuk!

Perintis teknologi maya cipta peralatan web terbaru lebih pantas LONDON: Internet akan menjadi alat yang lapuk tidak lama lagi berikutan saintis yang menjadi perintis kemudahan itu kini mencipta peralatan baru yang memiliki keupayaan secepat kilat sehingga mampu memuat turun keseluruhan filem dalam tempoh satu atau dua saat saja. Dengan kelajuan 10,000 kali ganda berbanding keupayaan pautan jalur lebar sedia ada, jaringan rangkaian terbaru ciptaan Organisasi Eropah Bagi Pengkajian Nuklear (CERN) itu turut menyediakan 'kuasa' untuk menghantar imej holografik, menyediakan kemudahan permainan video dalam talian sehingga ratusan ribu pemain boleh turut serta selain menawarkan talian video dengan kadar caj panggilan tempatan. Profesor Fizik di Universiti Glasgow, David Britton, juga antara individu terbabit dalam projek itu percaya, teknologi jaringan berkenaan mampu merevolusikan masyarakat. "Dengan kuasa komputer seperti ini, generasi akan datang memiliki keupayaan bekerjasama dan berkomunikasi lebih baik daripada masyarakat 'kuno' seperti saya mampu bayangkan," katanya. Kekuasaan jaringan baru itu akan diperkenalkan pada musim panas ini apabila saintis CERN mengaktifkan peranti Pelanggaran Hadron Besar (LHC) iaitu pemecut zarah baru yang dibina untuk mengkaji permulaan alam semesta. Jaringan itu akan diaktifkan pada masa sama bagi memperoleh data dihasilkan LHC. Saintis di CERN yang terletak di Geneva, Switzerland memulakan projek jaringan komputer itu tujuh tahun lalu apabila penyelidik menyedari LHC akan menghasilkan data tahunan yang terlalu banyak. Pengarah Teknik projek berkenaan, Profesor Tony Doyle, berkata pihaknya memerlukan kuasa memproses yang terlalu banyak dan ada isu mengenai mendapatkan kuasa elektrik yang mencukupi menggunakan komputer sebanyak itu di CERN. "Satu-satunya jawapan kepada masalah ini dengan mencipta rangkaian baru yang cukup kuat menghantar data dengan segera ke pusat kajian di negara lain," katanya. Rangkaian dihasil menggunakan kabel gentian optik itu menghubungkan CERN kepada 11 pusat di Amerika Syarikat, Kanada, negara Timur Jauh, Eropah dan pelbagai lagi. Ketua Projek Komputer Berkelajuan Tinggi di CERN, Ian Bird, berkata teknologi jaringan itu akan membuatkan capaian internet terlalu pantas sehingga pengguna akan berhenti menggunakan komputer 'desktop' untuk menyimpan maklumat sebaliknya memuatkan semuanya ke internet. "Ia akan memulakan fenomena 'perkomputeran awan' iaitu pengguna menyimpan semua maklumat mereka dalam internet dan boleh dicapai di mana saja," katanya. – Agensi Petikan dari Berita Harian http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Dunia/20080406231614/Article/

No comments: