Tuesday, March 1, 2011

Kisah aku...

Aku telah mendirikan rumahtangga sebanyak dua kali. Isteri pertama aku merupakan warga Singapura dan dengannya kami memperoleh tiga orang anak iaitu Ira Syaqira (yang kini berusia 21 tahun), Ira Syamira (17 tahun) dan Irfan Syaqir (11 tahun).  Namun jodoh aku tidak panjang apabila isteri aku memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 15 Februari 2006.  Terkejut aku apabila mendapat perintah untuk hadir ke mahkamah di Putrajaya pada 27 Februari 2006.  Bila tiba harinya, dalam perjalanan ke mahkamah isteri aku acapkali merayu "Please make it easy"  Sebagai orang yang tidak pernah hadir ke mahkamah (kecuali masa aku di sekolah menengah Sains Johor Kluang ada cikgu yang membawa kami sekelas melawat mahkamah majisterit) aku berasa termat malu, gementar dan fikiranku berkecamuk. Apatah lagi kali ini aku yang menjadi orang yang dibicarakan.  Fikiran aku buntu dan hampir tak boleh nak berfikir.

Apabila hakim bertanya kepada aku tentang permohonan itu, aku memohon izin dengan yang arif untuk aku bertanya sendiri kepada isteriku adakah itu yang benar-benar itu dia mahu. Apabila dengan yakin dia menjawab ya, maka aku ambil keputusan untuk melafazkan talak satu.

Maka dari saat itu pada 27 Februari 2006 bermulalah episod aku menduda.  Aku tidak ada rumah kerana rumah di Putrajaya aku benarkan bekas isteriku tinggal bersama-sama dengan anak-anak.  Lalu pakaian aku, aku sumbatkan ke dalam van Serena Putrajaya 5797 dan mula memikir di mana aku nak tinggal.  Rumah apartmen aku di Puchong habis rosak dipecahkan kerana tak pernah aku jengah.  Akhirnya aku mengambil keputusan tidur di dalam van di parkir hentian rehat LDP tol menghala ke Putrajaya (sebelah Shell).  Ibu, bapa, adik-beradik, rakan sekerja semuanya tidak tahu.  Aku begitu malu dalam melalui saat-saat kehidupan ketika itu yang aku rasakan penuh dengan kepahitan.  Dalam pada itu aku tetap bekerja seperti biasa di Bahagian Sekolah dan rakan sekerja aku kira langsung tidak mengesyaki apa-apa.  Setiap pagi aku mandi dan solat subuh di hentian itu.  Kalau biasanya aku mandi air panas, kali ini terpaksalah aku menahan kesejukan.  Dalam kesibukan aku bekerja, sempat juga aku mencari kontarktor untuk membaiki apartmen Saujana Puchong.  Bertuah aku dapat Wahid, kerana bukan sahaja hasil kerjanya baik malah bayarannya juga amat berpatutan.

Tidak lama kemudian bekas isteri aku berkahwin dengan Tengku yang merupakan seorang kerabat Diraja Pahang.  Aku terus menduda dan tinggal di Saujana Puchong.  Tahun 2007 mencatat banyak sejarah apabila Irfan memasuki alam persekolahan di SK Seksyen 9 Shah Alam, sementara Syamira dapat memasuki SBP di Sekolah Seri Puteri.  Ira yang bersekolah di SMS Hulu Selangor menduduki peperiksaan SPM dan aku pula ditukarkan menjadi Guru Besar di SK Seksyen 2 Bandar Kinrara pada penghujung tahun itu.  Sewaktu Ira menduduki peperiksaan SPM aku dengan adik-adiknya kerap melawat memberi semangat hinggakan pada malam solat hajat di surau sekolahnya kami bertiga jugalah hadir menemaninya.  Aku tahu perasaan serba-salah hatinya apabila fasilitator meminta calon SPM memeluk ibu dan bapa kerana pada ketika itu dia hanya ada aku.  Sedangkan rakan-rakannya yang lain dapat bersama kedua-dua ibubapa mereka.  Setelah menamatkan SPMnya Ira tinggal bersama aku dan dia aku hantar untuk belajar memandu dan mengambil lesen.  Alhamdulillah dengan sekali ujian dia lulus!

Punca Krisis
Rentetan Krisis

No comments: