Wednesday, February 23, 2011

United mahu benam Marseille

PARIS - Manchester United mungkin masih belum mencapai prestasi tertinggi, namun skuad Red Devils itu tetap berpeluang merangkul tiga kejuaraan dan tuah nampaknya memihak kepada mereka kerana akan bertemu Olympique Marseille yang dibelenggu krisis kecederaan menjelang perlawanan Liga Juara- juara Eropah, esok.



Pendahulu liga itu jarang bermain pada tahap terbaik dan ia dibuktikan ketika perlawanan pusingan kelima Piala FA Sabtu lalu, apabila mereka berhempas pulas menewaskan pasukan kerdil Crawley Town 1-0.



Juara Perancis, Marseille menjadi halangan seterusnya pada pusingan kalah mati 16 pasukan di Stade Velodrome, esok dengan penyerang utamanya, Andre-Pierre Gignac terlepas aksi kerana mengalami kecederaan sewaktu perlawanan liga, Sabtu lalu menentang St. Etienne.



Begitu juga dengan dua lagi penyerang iaitu Brandao dan Loic Remy yang cedera buku lali, namun jurulatih Didier Deschamps berharap mereka kembali cergas dalam pertembungan dengan United yang masih tercari-cari rentak.



Dalam perlawanan Sabtu lalu, Crawley hampir mengejutkan United pada saat akhir dengan jaringan penyamaan, manakala ketika bertemu Manchester City memerlukan jaringan luar biasa Wayne Rooney sebelum dapat melakar kemenangan.



Aksi hambar Rooney sejak awal musim menjadi punca kepada prestasi tidak menentu United, namun itu sedikit pun tidak menggusarkan Ferguson yang yakin dengan kebolehan skuad bimbingannya bangkit menjelang penghujung musim.



"Saya pernah beberapa kali menyaksikan perlawanan di Marseille dan perasan suasana yang ditimbulkan penyokong-penyokongnya dalam stadium adalah sangat menakjubkan.



"Memang tidak mudah bermain di sana, namun saya percaya kita ada peluang untuk layak," kata Ferguson.



Trio Brazil, Anderson dan kembar Da Silva mengalami cedera ringan sewaktu menentang Crawley dan mungkin terlepas aksi, esok, sekaligus menambah kekusutan Ferguson yang kehilangan khidmat Rio Ferdinand dan Park Ji-sung.



Patrice Evra pastinya bersemangat untuk berkunjung ke selatan Perancis, selepas bekas pemain pertahanan Monaco itu menyambung kontrak baru bersama United sehingga 2014.



Ini merupakan perlawanan pertama pemain itu beraksi di tanahairnya, Perancis sejak dia 'memainkan peranan' dalam kekalutan yang menimpa pasukan kebangsaannya pada kempen Piala Dunia di Afrika Selatan, tahun lalu.



Ketika itu, dia dipecat sebagai kapten dan digantung lima perlawanan berikutan prestasi hambar skuad Perancis yang tersingkir seawal pusingan pertama Piala Dunia. Sejak itu, dia tidak lagi dipanggil untuk menyarung jersi Les Blues.



Ferguson, bagaimanapun cukup yakin bahawa Evra yang menjadi salah seorang bek kiri terulung dunia sejak berhijrah dari Monaco lima tahun lalu, mampu menangani herdikan yang dijangka ditujukan kepadanya oleh puluhan ribu penyokong lawan.



"Patrice, tanpa perlu dipersoalkan ialah antara bek kiri terbaik dunia.



"Dia memiliki karakter penting dalam bilik persalinan dan saya gembira dia telah melanjutkan komitmen bersama kelab ini. Kemahiran dan pengalamannya amat ditagih kami dalam cabaran akan datang," kata Ferguson.



Deschamps bukan saja tidak bimbang masalah kecederaan yang menghantui skuadnya, sebaliknya tidak sabar melayan kunjungan United yang merupakan juara tiga kali itu.



"Perlawanan menentang Manchester United bukanlah satu-satunya perlawanan penting musim ini.



"Apa yang lebih penting untuk kelab ini adalah melayakkan diri bertanding dalam Liga Juara-juara pada hujung musim, namun kita berjaya melangkah sehingga peringkat 16 pasukan terbaik. Pencapaian kita bukan selalunya sebaik ini setiap tahun," ujar bekas pemain Chelsea itu.



Juara Eropah 1993 itu baru saja mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam Ligue 1 buat kali pertama musim ini dan kini berada tiga mata di belakang pendahulu liga, Lille.



Perlawanan timbal balik kedua akan berlangsung di Old Trafford, 13 Mac ini. - Reuters




No comments: