LIVERPOOL: Penghijrahan Fernando Torres sudah dilupakan, malah tiada lagi dalam kamus Liverpool, kata Kenny Dalglish dalam mempersiapkan anak buahnya untuk berdepan Chelsea dan bekas penyerang Reds itu di Stamford Bdridge, malam esok.
“Ramai kecewa dia meninggalkan kelab dan apa yang lebih mengecewakan ialah masa ketika ia berlaku, tetapi kami akan meneruskan perjuangan,” kata Dalglish alam sidang media apabila ditanya mengenai perpindahan Torres ke Chelsea dengan nilai 50 juta pound (RM245 juta). “Kelab bola sepak, pemilik kelab sudah melakukan sebaik mungkin untuk mengelakkan ia berlaku tetapi gagal. Kita perlu terima hakikat, dia akan bermain untuk pihak lain. Ini sesuatu yang kita perlu terima.” Pemain Sepanyol itu dijangka membuat penampilan sulung untuk juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu malam esok tetapi Dalglish menafikan dia berdepan masalah tanpa Torres dan menambah, pemain lain akan mempamerkan usaha maksimum dalam apa juga keadaan.
Katanya, tiada pemain yang lebih berkuasa daripada kelab, dan bekas rakan-rakan Torres di Anfield kini tetap fokus terutama dengan kehadiran dua penyerang baru, Andy Carroll dan Luis Suarez.
“Ketika mereka (pemilik) mengambil alih kelab ini, mereka berkata mahu mengembalikan kelab kepada kedudukan sepatutnya dan inilah bukti pertama mereka serius dengan cita-cita itu,” kata Dalglish mengenai pemilik Amerika yang mengambil alih kelab itu Oktober lalu dan membelanjakan lebih 55 juta pound (RM270 juta) untuk membeli dua penyerang England dan Uruguay berkenaan. - Reuters
No comments:
Post a Comment