Wednesday, April 11, 2012

Man. United sudah terbayang kejuaraan


MANCHESTER – Manchester United mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas menang 2-0 ke atas Queens Park Rangers (QPR), yang menutup saingan dengan 10 pemain dalam sebahagian besar perlawanan, semalam.

QPR, yang bergelut di zon penyingkiran dan mengharungi 76 minit permainan di Old Trafford dengan kekurangan pemain, dihukum hasil jaringan Wayne Rooney dan pemain veteran, Paul Scholes.

Kemenangan itu membawa Red Devils menjarakkan kelebihan kepada lapan mata ke atas Manchester City yang tunduk 0-1 kepada Arsenal.

United mendapat kelebihan awal pada minit ke-14 apabila pengadil, Lee Mason memberikan sepakan penalti apabila mendapat Shaun Derry diberikan kad merah ekoran menjatuhkan Ashley Young di dalam kotak penalti.

Pemberian kad merah dan sepakan penalti itu dilihat sedikit kontroversi kerana kedudukan Young dikesan berada dalam posisi ofsaid di samping hanya sedikit sentuhan yang ditujukan kepada pemain sayap itu daripada Derry.

Rooney yang mengambil sepakan penalti, tiada masalah meletakkan United di hadapan seminit kemudian sebelum perlawanan dilihat menjadi berat sebelah apabila banyak serangan dilancarkan oleh tuan rumah.

Gol berkenaan juga menjadi jaringan peribadi ke-30 Rooney pada musim ini dan yang ke-22 pada saingan liga.

“Saya fikir ia adalah ofsaid. Banyak keputusan seperti ini berlaku sejak beberapa minggu lalu.

“Mungkin Derry hanya melakukan sedikit sentuhan, namun ia cukup untuk menyebabkan Ashley hilang imbangan dan pengadil tiada pilihan,’’ kata pengurus United, Alex Ferguson.

Walaupun melancarkan serangan bertali arus, United hanya mampu menambah satu lagi jaringan melalui Paul Scholes hasil rembatan deras dari jarak 25 meter.

United terlepas dua peluang terbaik bagi menambah jaringan apabila percubaan Michael Carrick mengenai tiang pada minit ke-77 dan rembatan Danny Welbeck tersasar, lima minit kemudian.

United pasti akan menang dengan jaringan gol yang besar selepas mendominasi sebahagian besar perlawanan tetapi ketangkasan penjaga gol QPR, Paddy Kenny menyelamatkan pasukannya daripada dibolosi lebih banyak.

Dengan liga kini hanya berbaki enam perlawanan, United menjadi pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana, yang juga bakal menjadi gelaran ke-20 mereka.

Di Stadium Emirates, Mikel Arteta muncul wira Arsenal apabila rembatan leret dari jarak 20 meter pada minit ke-87 memberikan kemenangan berharga kepada Gunners sekali gus kembali menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat, Tottenham dengan kelebihan dua mata bagi perebutan tempat ketiga.

Bertambah malang buat City, penyerang bermasalah, Mario Balotelli memperoleh kad merah pada minit terakhir perlawanan selepas mengasari Bacary Sagna.

Petikan dari:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan_Luar_Negara&pg=sl_01.htm

No comments: