Thursday, October 14, 2010

Usaha lahir generasi berilmu bertaraf antarabangsa

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pendidikan akan menjadikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sebagai pengupaya utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata langkah itu meningkatkan kualiti pendidikan dan melahirkan generasi berilmu serta berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara. “Dasar ini kesinambungan daripada inisiatif Sekolah Bestari yang menekankan penggunaan teknologi sebagai wahana menggalakkan perkembangan daya kreativiti, pembelajaran secara bekerjasama, pemikiran kritis dan penyelesaian masalah. “Dasar ini menggabung dan menyelaraskan semua inisiatif ICT sedia ada seperti SchoolNet, Makmal Komputer, EduWebTV, Pusat Akses dan apa jua inisiatif ICT yang dilaksanakan pada masa depan dengan tujuan meningkatkan pencapaian murid,” katanya ketika melancarkan dasar itu di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pela-jaran, Dr Rosli Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali. Difahamkan, dasar itu dilancar berikutan kajian Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri yang melaporkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 tidak menyatakan secara khusus peranan ICT sebagai pengupaya proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. EPU turut menyifatkan pelaburan RM6.1 bilion bagi inisiatif ICT untuk tempoh 1999 hingga 2009 sebagai tidak memberikan pulangan setimpal kepada pembangunan modal insan negara. Muhyiddin berkata, dasar itu akan menjadikan amalan di negara maju sebagai penanda aras untuk memastikan komponen ICT dalam pendidikan mampu mencapai piawaian antarabangsa. Katanya, dengan menjadikan dasar itu sebagai rujukan, pelaksanaan semua program ICT di kementerian menjurus kepada sasaran yang sama iaitu mempertingkatkan pencapaian murid dan memastikan setiap murid mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti. Empat asas menjadi teras dasar iaitu pembangunan modal insan berterusan, penggunaan teknologi yang sesuai bagi mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, proses pengajaran dan pembelajaran dan pengurusan pendidikan menggunakan ICT. Berita Harian Online: 13 Oktober 2010

No comments: